Kongres Maruah Melayu

Kongres Maruah Melayu Dan Tujuannya

30 September 2019

Pada 6 Oktober ini, Universiti Malaya(UM) dan beberapa universiti awam akan menganjurkan Kongres Maruah Melayu. Sehingga saat ini tiada pihak boleh menjelaskan apa sebenarnya tujuan kongres ini dilaksanakan dan apa matlamat akhir yang ingin dicapai.

Ia telah menjadi pengetahuan umum bahawa Universiti Malaya dan IPTA sebenarnya diperalatkan oleh ahli politik BERSATU untuk mengadakan kongres ini.

Jika tidak, mengapa Universiti Malaya dan IPTA lain, tidak kelihatan bersungguh- sungguh atau serius mempromosikan kongres ini. Melainkan kerana kongres ini sebenarnya didalangi pelbagai sekutu politik Tun Mahathir dan tidak diadakan dengan niat yang serius.

Saya ingin mengajukan beberapa persoalan asas kepada penganjur.

Pertama sekali, mengapa ia digelar Kongres Maruah Melayu? Adakah kerana maruah bangsa Melayu kini sudah benar-benar tercalar dan merosot semenjak Pakatan Harapan mengambil alih Kerajaan? Sehinggakan maruah Melayu terpaksa menjadi subjek yang perlu di-kongres-kan? Jika tidak masakan maruah Melayu perlu dibicarakan?

Saya yakin, jika maruah Melayu tidak susut dan merosot dengan deras, sudah pasti tiada keperluan untuk UM dan IPTA kita dikerah mengupasnya dengan cara dan nada yang kedengaran sangat terdesak ini.

Kedua, kenapa kongres ini tiba-tiba dianjurkan sebaik sahaja termeterainya perjanjian persefahaman politik UMNO-PAS?

Adakah ini kebetulan atau sebenarnya Kongres Maruah Melayu ini ingin dijadikan saingan gerakan penyatuan Ummah yang dicetuskan oleh UMNO dan PAS?

Jika itulah tujuannya, mengapa IPTA yang diperkudakan dan bukannya BERSATU sendiri yang menganjurkannya?

Telahan saya ialah kerana BERSATU telah mengabdikan dirinya pada DAP dan berada dalam keadaan yang sangat tersepit untuk menjadi suara orang Melayu yang lantang. Justeru, dalam kesempitan sedemikian, tidak mungkin BERSATU bersedia dan berupaya untuk menganjurkan kongres yang nyata sifat dan nadanya adalah memperjuangkan Melayu. Sudah pastilah BERSATU risau yang tindakan sedemikian akan hanya mengundang herdikan Lim Kit Siang dan sekutunya.


Ketiga, jika benar ia dianjurkan untuk menangani masalah maruah bangsa Melayu, kenapa perlu IPTA yang menganjurkannya.

Apakah semenjak PH memerintah, IPTA di Malaysia ini telah menjadi lebih pro- Melayu dan bukannya pro-Malaysia secara umum? Sejak bila IPTA harus memikirkan tentang maruah bangsa Melayu?

Bukankah tugas dan fokus nasional IPTA adalah membangun, mengembang, meneroka dan mengembangkan ilmu? Bukannya menjadi juara orang Melayu dan kemaslahatannya secara eksklusif.

Kepada semua IPTA di Malaysia, politik dan maruah orang Melayu adalah tanggungjawab moral orang politik dan parti politik bangsa Melayu. Bukan tugas kalian secara khusus.

Percayalah, jika IPTA memikul desakan ini sekarang, tidak mustahil selepas ini akan ada pula desakan-desakan yang lebih lantang untuk IPTA menganjurkan pula Kongres Maruah Cina, atau India, atau peribumi Sabah dan Sarawak. Pada saat itu, IPTA akan kehilangan kawalan terhadap fokus dan tanggungjawab akademiknya yang lebih mustahak.

Sekalipun IPTA ingin dilibatkan dalam mengembalikan maruah orang Melayu yang tercalar sejak PH memerintah, tugas IPTA harus berkisar pada tindakan memaklum atau mengongsikan dapatan-dapatan tentang kebolehsaingan bangsa Melayu. Tetapi, parti politik dan pemerintahlah yang harus menggunakannya dengan menampilkan dasar dan program yang sewajarnya.

Jika tidak, IPTA akan dilihat gagal dalam tanggungjawabnya untuk tanahair ini yang sepatutnya neutral dan tidak berkepentingan politik. Yang lebih memalukan adalah apabila IPTA akan dilihat menjadi tali barut BERSATU demi mengemukakan agenda politik yang mereka sendiri tidak berani dan sanggup nyatakan secara tegas dan terbuka.

Kekallah sebagai menara gading kebanggaan semua. Jangan tukarkan diri anda menjadi taman ‘bunga raya’ yang semakin kecut dan layu.

Mohamed Khaled Nordin(MKN) Naib Presiden UMNO