Penggabungan UMT-UniSZA Di Mana Integriti Mazlee Malik 18 September 2019


Saban hari, semakin banyak pihak yang tampil mengkritik keras dan mempertikaikan dengan lantang keputusan YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia untuk menggabungkan UMT dan UniSZA tanpa sebab.


Terdapat beberapa pertikaian utama.

Pertama, asas keputusan yang rapuh. Data serta fakta yang digunakan beliau untuk menyokong keputusan tersebut hampir kesemuanya salah dan tidak tepat. Tiada semakan yang teliti dibuat. Rujuklah bidasan lengkap berhubung perkara ini dalam laporan bertajuk Fact-Checking Maszlee on UMT-UniSZA Merger oleh The Malaysian Insight bertarikh 14 September 2019.


Hampir semua rujukan yang beliau nyatakan adalah salah. Perkara ini pastinya mengundang rasa bingung dan ketidakpercayaan yang mendalam kepada kita semua.


Mengapa seseorang yang bergelar Menteri Pendidikan, dengan pasukan pegawai yang besar dan ramai, dengan akses kepada rekod yang sahih, boleh sesuka hati membuat kenyataan menggunakan fakta yang salah, memesongkan dan tidak berasas.

Kedua, proses yang terburu-buru. Keputusan penggabungan ini dibuat tanpa proses yang wajar dan inklusif. Tidak ada rundingan, tidak ada perbincangan dan tiada rujukan dibuat secara serius dengan pelbagai pemegang taruh. Seolah-olah pelajar, alumni, ahli akademik, rakan kongsi universiti dan kumpulan pentadbir bukanlah pihak yang penting untuk didengari sebelum mengumumkan keputusan tersebut.

Paling penting, masyarakat umum tidak pun dikongsikan dengan satu laporan atau analisis yang terperinci dan mendalam, yang menunjukkan keperluan mendesak, keberkesanan penggabungan, pelan mitigasi dan risiko pasca penggabungan serta strategi utama bagi memastikan kejayaan penggabungan ini.

Kita mesti mengambil maklum dan memberikan perhatian kepada ulasan oleh Prof. Datuk Dr. Norzaini Azman, Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT) dalam rencana ‘Strategi Penggabungan Universiti Perlu Lebih Bersistematik’ bertarikh 17 September 2019, bahawa penggabungan universiti memerlukan strategi dan matlamat yang betul. Bukannya dibuat secara suka-suka.

Ketiga, respons Menteri yang tidak profesional. Apa yang lebih merisaukan adalah sikap YB Menteri Pendidikan yang begitu cepat melatah. Beliau menuduh dan menggelar pihak yang berbeza pendapat dan haluan dengannya sebagai mensabotaj tindakan beliau.


Tidakkah beliau sedar bahawa universiti adalah institusi awam yang mempunyai kepentingan besar kepada semua pihak termasuklah orang awam? Jadi, semua pihak berhak menyatakan pandangan dan memberikan saranan bagi memastikan campur tangan kerajaan dalam universiti adalah tidak melulu mahupun merugikan rakyat.

Keempat, percanggahan dalam pendekatan kepada pengajian tinggi. Bukankah sebelum ini kerajaan Pakatan Harapan bersungguh-sungguh melaungkan tentang autonomi universiti, pendemokrasian pendidikan dan kebebasan akademik? Mengapakah pihak Kementerian pula yang terkinja-kinja dan harus menjadi penentu mutlak strategi dan hala tuju universiti? Di mana semua pegangan dan janji tersebut dalam kes ini? Mengapa ia harus menjadi tabiat kerajaan untuk cakap tidak serupa bikin?

Lebih memualkan, bukankah YB Dr. Maszlee sendiri adalah orang yang memperkenalkan slogan, #Love, Happiness dan #MutualRespect dalam pendidikan kita. Jadi, di manakah sikap saling menghormati dalam keputusan yang tidak pun mengambil kira kegembiraan dan minat pelajar secara mendalam ini? Bukankah tindakan YB Menteri dalam isu ini ibarat separuh ular separuh belut?

Kelima, sekalipun penggabungan universiti adalah satu keperluan mendesak dan menjadi keutamaan kepada Menteri Pelajaran, yang perlu digabungkan adalah IPT swasta. Kebanyakan IPT swasta kini berhadapan dengan masalah kekurangan pelajar dan ketidaklestarian operasi. IPT-IPT swasta ini yang sewajarnya digalakkan untuk digabungkan seperti yang kita lakukan sewaktu Krisis Kewangan Asia sekitar 1997-1998 yang lalu. Bukannya universiti awam.

Sebaliknya, universiti awam yang tidak menghadapi masalah kekurangan pelajar dan kelestarian operasi mesti terus disokong dan dikembangkan. Ini adalah agenda berkepentingan awam yang kritikal yang sepatutnya terus diperkasakan dengan dana yang lebih besar dan infrastruktur yang lebih baik. Terutamanya melihat kepada keperluan dan persaingan ekonomi yang dinamik kepada kedua-dua UniSZA dan UMT.

YB Menteri mesti menjawab dan menerangkan mengapa keputusan beliau adalah sesuatu yang wajar dan strategik. Lebih-lebih lagi dalam menjayakan agenda pemerkasaan pendidikan Bumiputera.

Saya boleh simpulkan sikap serta pendekatan yang sangat tertutup tersebut berpunca daripada 3 perkara.

Pertama, Menteri Pelajaran sebenarnya tidak pun mempunyai sebab dan asas yang kukuh bagi menyokong keputusan yang dibuat secara tertutup, tidak profesional dan terburu-buru tersebut.

Kedua, barangkali keputusan tersebut sangat bersifat politik dan mempunyai kepentingan tertentu yang cuba untuk disembunyikan. Ini kerana, jika benar ia adalah keputusan yang


mempunyai matlamat yang jelas, mengapa matlamat tersebut tidak dinyatakan secara terbuka dan tetap?

Ketiga, penggabungan UMT-UniSZA hanyalah satu gimik politik untuk menunjukkan yang Menteri Pelajaran ‘buat kerja’ dan mempunyai legasi sendiri. Ia bukannya bertujuan untuk meningkatkan keupayaan mana-mana pihak, khususnya para pelajar dan kedua-dua institusi yang terlibat. Ia bukan bertujuan memenuhi aspirasi pengajian tinggi negara. Malah, ia mengabaikan kepentingan umum dan autonomi universiti kita.

Mungkin pada Menteri Pelajaran, berjaya atau tidak tindakan ini kelak, bukan lagi menjadi hal yang penting. Terutamanya, jika beliau sudah tidak menjadi menteri tidak lama lagi. Sesiapa yang mewarisi kepincangan keputusan beliaulah yang harus menanggung natijah tersebut.

Saya percaya, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab patriotik setiap rakyat Malaysia untuk memastikan keputusan yang tidak berasas ini tidak dilaksanakan semata-mata mahu memenuhi kehendak Menteri Pelajaran.

Saya menyeru kepada pihak kerajaan untuk benar-benar meneliti perkara ini dengan serius dan profesional. Sesungguhnya, impak dan keperluan menggabung universiti tidak semudah menukar warna kasut sekolah dari putih kepada hitam. Pertimbangkanlah dengan sebaiknya.

Mohamed Khaled Nordin(MKN) Naib Presiden UMNO